Friday, May 14, 2021

ISU-ISU DAN MASALAH DALAM SISTEM PENDIDIKAN

 

By: Muhammad Akif bin Azhar (D20202096243)

PENGENALAN

Falsafah Pendidikan Negara (FPK) menjadi tunjang utama dalam menetapkan matlamat dan agenda pendidikan di Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan visi dan misi seiring dengan FPK dan dasar pendidikan. Sistem pendidikan di Malaysia bermula daripada pendidikan prasekolah sehingga ke pendidikan lepas menengah mempunyai matlamat yang sama iaitu melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu, melahirkan insan beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera, menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan Negara, memberi peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017. Maka, pelbagai lapisan dan fungsi warga KPM bertanggungjawab dalam usaha mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan oleh KPM. 3 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 juga telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan ke arah mencapai matlamat pendidikan. Setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Kualiti menjadi fokus utama merentasi semua anjakan kerana kualiti merupakan dimensi penting yang perlu diberikan perhatian segera.

Di samping itu, Peranan pendidikan 4.0 yang melibatkan penggunaan pelbagai teknologi seperti Data Analitik Seraya (Big Data Analytic), kecerdasan buatan, kepintaran buatan, realiti augmentik, dan lain-lain teknologi disebut-sebut akan digunakan di dalam proses PdPc. KPM juga mula memperkenalkan kelas masa hadapan atau kelas pintar di sekolah bagi menyokong Revolusi Industri 4.0 melalui pendidikan 4.0. Namun demikian, apabila pandemik COVID-19 muncul apa yang berlaku ialah inilah masa yang sesuai untuk melihat kesiapsiagaan kita menghadapi pendidikan masa depan. Kajian keperluan yang dilakukan oleh KPM menunjukkan bahawa hampir 30 peratus murid tidak bersedia sepenuhnya untuk PdPc dalam talian yang disediakan oleh guru-guru. Apabila peperiksaan besar seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dibatalkan untuk tahun 2020. Maka langkah ini adalah sangat sesuai. Ini adalah bersesuaian dengan matlamat untuk mengelakkan kebergantungan kepada peperiksaan sebaliknya harus fokus kepada tujuan pendidikan itu sendiri iaitu untuk menambah pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam kalangan murid.



ISU-ISU DAN MASALAH DALAM SISTEM PENDIDIKAN



1. Pengisian Kurikulum Dan Ko-Kurikulum



Masalah lain yang turut timbul ialah berkenaan dengan pengisian dalam kurikulum dan aktiviti ko-kurikulum yang menjadi penentu kepada perkembangan murid-murid dan pelajar-pelajar. Hal ini penting kerana ia memberi kesan, sama ada positif atau negatif kepada masyarakat dalam membentuk jati diri dan disiplin. Sekiranya pengisian dalam kurikulum dan ko-kurikulum mengikut keperluan rakyat, maka tentu sebarang masalah tidak timbul. Tetapi oleh kerana wujud kelemahan-kelemahan dalam pengisian kukirulum dan ko-kurikulum, reaksi yang negatif kelihatan dalam hubungan masyarakat. Contohnya, sekolah kebangsaan tidak menjadikan bahasa ibunda kaum Cina dan Tamil sebagai subjek wajib telah menyebabkan ibu bapa daripada Cina dan India tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Bagi mereka, bahasa ibunda ialah identiti yang harus dipelihara. Mukriz Mahathir (2008) memberi pandangan supaya satu sistem persekolahan sahaja diwujudkan dengan menerapkan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai subjek yang wajib diambil oleh murid-murid Cina dan India kenyataan dalam Utusan Online di http://www.utusan.com.my, 2/12/2008.

Murid-murid Melayu boleh mengambil bahasa Mandarin dan Tamil sebagai salah satu subjek pilihan. Secara tidak langsung, orang Melayu akan dapat menguasai bahasa Mandarin dan Tamil yang akhirnya dapat merapatkan jurang pendidikan antara kaum.Masyarakat perlu memahami bahawa objektif penggubalan dasar dan sistem pendidikan adalah berlandaskan keperluan pembentukan Negara Malaysia sebagai negara demokrasi yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa, agama, dan menjadikan Malaysia maju ke hadapan. KBSR (Kurikulum Baru Sekolah Rendah) dan KBSM (Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah) merupakan kurikulum yang diperkenalkan bagi meningkatkan lagi pendidikan dan perpaduan masyarakat, tetapi keberkesanannya untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum masih memerlukan penambahbaikan.




2. Merealisasikan Wawasan 2020



Wawasan 2020 telah dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 28 Febuari 1991 yang akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan negara maju menjelang tahun 2020. Reformasi yang telah dilakukan dalam sektor pendidikan adalah langkah konkrit untuk menuju ke arah Wawasan 2020. Bagi merealisasikan Wawasan 2020, antara sasaran yang mahu dicapai adalah mengenai perpaduan Negara di mana sektor pendidikan menjadi peneraju utama. Dalam sektor pendidikan, sistem persekolahan yang sempurna menjadi pendekatan yang digunakan untuk memastikan perpaduan di kalangan masyarakat. Tema perpaduan dalam sistem persekolahan amat dititiberatkan kerana hanya melalui perpaduan matlamat mencapai Wawasan 2020 dapat direalisasikan. Bermula dari sekarang (2010), hanya 10 tahun sahaja masa yang ada untuk negara Malaysia menjadi negara maju.

Namun begitu, dengan situasi masyarakat dan negara sekarang timbul persoalan tentang persediaan untuk menghadapinya. Contohnya, hubungan masyarakat Malaysia kini masih lagi perlu diperkukuhkan kerana masih wujud tanda-tanda kelemahan dalam hubungan masyarakat. Sistem persekolahan sepatutnya menjadi medium penggerak kepada masyarakat supaya mereka dapat disatupadukan melalui peluang pendidikan. Tetapi, masih wujud permasalahan dalam menentukan sistem persekolahan kerana ada sesetengah pihak mahu mengekalkan sistem persekolahan yang sedia ada, manakala sesetengah pihak lain mahu perubahan.

Masalah-masalah dalam sistem pendidikan yang bermatlamatkan perpaduan negara diringkaskan melalui, masalah isu berbangkit hak bumiputra dan bukan bumiputra, jurang pencapaian pendidikan orang Melayu dan bukan Melayu melalui peluang pekerjaan dan pendapatan, masalah keciciran pelajar-pelajar Melayu dan bukan Melayu, hubungan yang renggang antara pelajar Melayu dan bukan Melayu, kurangnya pergaulan antara pelajar Melayu dan pelajar bukan Melayu, terutama selepas waktu sekolah; dan akhir sekali kurangnya pengetahuan dan tidak memahami dengan mendalam mengenai budaya, amalan, dan adat resam sesuatu kaum.



3. Sistem Pendidikan Pasca Covid-19



Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Menteri Pendidikan Malaysia pada 15 April 2020 yang lalu membuatkan kita terjentik untuk berfikir mengenai norma baharu kaedah pengajaran oleh guru dan pembelajaran oleh murid. Sebelum ini istilah yang popular digunakan adalah Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) oleh guru kepada pelajar dengan peranan guru sebagai pemudahcara kepada pembelajaran oleh murid di dalam kelas dan di luar kelas. Dengan hampir 500 ribu guru dan 400 ribu pelajar di Malaysia Google Classroom mencatatkan guru Malaysia di tangga ke-2 aktif di dalam proses pembelajaran dalam talian. Tahniah kepada semua guru di Malaysia yang sentiasa dijulang sebagai wira oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Peranan pendidikan 4.0 yang melibatkan penggunaan pelbagai teknologi seperti Data Analitik Seraya (Big Data Analytic), kecerdasan buatan, kepintaran buatan, realiti augmentik, dan lain-lain teknologi disebut-sebut akan digunakan di dalam proses PdPc. KPM juga mula memperkenalkan kelas masa hadapan atau kelas pintar di sekolah bagi menyokong Revolusi Industri 4.0 melalui pendidikan 4.0. Namun demikian, apabila pandemik COVID-19 muncul apa yang berlaku ialah inilah masa yang sesuai untuk melihat kesiapsiagaan kita menghadapi pendidikan masa depan. Kajian keperluan yang dilakukan oleh KPM menunjukkan bahawa hampir 30 peratus murid tidak bersedia sepenuhnya untuk PdPc dalam talian yang disediakan oleh guru-guru. Apabila peperiksaan besar seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dibatalkan untuk tahun 2020. Maka langkah ini adalah sangat sesuai. Ini adalah bersesuaian dengan matlamat untuk mengelakkan kebergantungan kepada peperiksaan sebaliknya harus fokus kepada tujuan pendidikan itu sendiri iaitu untuk menambah pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam kalangan murid.



CABARAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN

(1) Kesediaan murid untuk belajar

Kesediaan murid adalah perkara yang paling perlu diberi perhatian kerana mereka adalah subjek utama kepada ilmu pendidikan untuk disampaikan. Walaupun guru bersemangat menyediakan pelbagai bahan PdPc namun jika tidak ada penyertaan murid maka hasil pembelajaran atau standard pembelajaran yang ingin dicapai tidak dapat disampaikan dengan sempurna kepada semua murid. Ini akan mewujudkan jurang kesaksamaan akses kepada pendidikan bagi murid tertentu yang tidak mempunyai akses kepada teknologi. Apa yang boleh dilakukan oleh guru untuk memastikan pencapaian matlamat 4 Matlamat Pembangunan Lestari 2030 adalah dengan menggunakan bahan maujud sedia ada seperti buku teks, buku latihan dan buku kerja dengan ditambah nilai melalui bahan yang dikongsikan di internet dan juga bantuan ibu bapa murid. Kaedah pentaksiran juga boleh dilakukan secara serentak mahupun tidak serentak melalui pelbagai kaedah seperti video oleh murid, bahan evidens yang dibuat murid disemak oleh ibu bapa bagi memastikan pencapaian hasil pembelajaran berdasarkan standard prestasi di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

(2) Kesediaan Guru

Apabila murid telah bersedia maka guru dengan mudah melaksanakan PdPc mengikut tahap kesediaan murid. Guru sudah jelas dengan teknologi, pedagogi, kandungan dan pengetahuan yang ingin disampaikan atau digunakan bagi mengajar, menaksir berdasarkan DSKP untuk memastikan murid jelas apa tahap pengetahuan atau pencapaian yang ingin dicapai. Para guru boleh menggunakan pelbagai platform teknologi penstriman video, panggilan video, mesej atau audio untuk PdPc serentak atau menggunakan khidmat mesej telefon biasa untuk memaklumkan kepada murid apa yang ingin dicapai. Setiap aktiviti itu harus jelas tujuan dan hasil pembelajaran bukan sekadar memberi tugasan tanpa matlamat yang jelas. Ya betul setiap tugasan memberi input kepada murid namun murid akan lebih seronok belajar kalau ia jelas apa yang ingin dilakukan atau tujuan pendidikan tersebut.



(3) Peranan Ibubapa

Di dalam konteks pendidikan, guru mungkin menguasai 90 peratus proses pendidikan formal namun peranan ibu bapa di dalam memantau tugasan anak-anak semasa COVID-19 ini amatlah penting. Teguran berterusan ibu bapa dan pemantauan ibu bapa dapat membantu banyak di dalam memastikan tugasan yang diberikan guru dilaksanakan sebaiknya. Justeru bagi memastikan norma baharu atau kaedah baharu PdPc semasa COVID-19 ini dapat dicapai ianya memerlukan usaha oleh murid, guru dan ibu bapa di dalam memastikan anak-anak tidak ketinggalan di dalam pembelajaran. Tujuan pendidikan bukan sekadar untuk menaksir atau melabel pelajar dengan gred atau band namun lebih besar iaitu memandaikan anak bangsa dengan ilmu kerana Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu sepanjang hayat.

PENUTUP

Kesimpulannya, pada era globalisasi ini atau dunia tanpa sempadan telah memaksa industri pendidikan di Malaysia untuk melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang semakin pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat pra sekolah, pendidikan rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi. Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit.

Oleh itu, peranan-peranan daripada pihak pendidik, ibubapa, dan pelajar itu sendiri amatlah penting bagi menghadapi transformasi dunia tanpa sempadan ini. Akhir sekali, pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain akan menghalang pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri.



RUJUKAN

Hussein Hj. Ahmad, Mohammed Sani Ibrahim, 2016, Buku Transformasi Pendidikan Nasional:Antara Aspirasi Dan Anjakan, Penerbit Universiti Malaya.

https://harakahdaily.net/index.php/2020/04/17/norma-baharu-pembelajaran-dan-pentaksiran-pendidikan/

No comments:

Post a Comment